IFSEC Platform Syarikat Keselamatan Luas Capaian Produk

KUALA LUMPUR: Pameran dan Persidangan Kebakaran dan Keselamatan Antarabangsa (IFSEC) Asia Tenggara 2019 menyediakan platform terbaik bagi peserta industri keselamatan tempatan untuk memperluaskan pasaran produk di peringkat antarabangsa.

Naib Presiden Kanan United Business Media (UBM), M Gandhi, berkata IFSEC Asia Tenggara yang akan diadakan pada 19 hingga 21 Mac depan dijangka menerima kunjungan 20,000 peserta dagangan daripada 50 negara.

Katanya, lebih 500 pempamer daripada pelbagai syarikat akan menyertai acara selama tiga hari itu yang turut menyaksikan pelancaran produk baharu selain penganjuran lebih 50 seminar.

“IFSEC Asia Tenggara Kuala Lumpur 2019 akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan ia acara pameran kebakaran dan keselamatan terbesar di rantau ini.

“Ini sekali gus membuka peluang kepada peserta industri untuk meneroka peluang dan pasaran baharu di Asia Tenggara.

“IFSEC Asia Tenggara adalah salah satu komponen acara mega ASEAN Super 8 yang mana ia menggabungkan lapan pameran merangkumi industri utama seperti Pembinaan, Kejuruteraan, Jentera Berat serta Kelengkapan dan Keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran IFSEC Asia Tenggara dan Anugerah Kecemerlangan Industri Keselamatan Malaysia (MSIEA), di sini, hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Keselamatan Profesional Asia (APSA), Siti Subaidah Mustaffa, berkata MSIEA dianjurkan buat julung kali oleh APSA dengan kerjasama Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) sempena penganjuran IFSEC Asia Tenggara dan ASEAN Super 8.

“MSIEA 2019 dianjurkan untuk mengiktiraf komitmen dan kecemerlangan industri keselamatan terbaik di negara.

“Ia akan merangkumi 21 anugerah yang menumpu kepada lima kategori utama iaitu Pegawai Keselamatan Cemerlang, Pengurus Keselamatan Cemerlang, Komitmen Keselamatan oleh Syarikat, Komitmen Latihan Keselamatan dan Produk Keselamatan Terbaik,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya panel hakim adalah wakil bebas daripada organisasi yang mempunyai pegangan saham dalam industri keselamatan.

“Bagi setiap kategori, tiga calon terbaik akan dipilih dan pemenang anugerah kecemerlangan itu akan diumumkan pada Majlis Anugerah dan Makan Malam pada 20 Mac ini di MITEC.

Read more at https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2019/01/526214/ifsec-platform-syarikat-keselamatan-luas-capaian-produk