Tahap Sekuriti Syarikat Malaysia Kurang Memuaskan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 40% hingga 50% syarikat di Malaysia mempunyai sistem sekuriti yang lemah dan berada pada tahap kurang memuaskan, kata Naib Presiden Persatuan Sekuriti Profesional Asia Cawangan Malaysia (Apsa), Siti Subaidah Adil.

Beliau berkata, kebanyakan syarikat dilihat mengambil mudah terhadap soal sekuriti, terutamanya melibatkan penggunaan internet.

“Kalau ketua pegawai eksekutif (CEO) tersalah tekan apabila menggunakan internet, semua data syarikat akan terdedah kepada pihak luar dengan begitu sahaja.

“Memang boleh pasang ‘firewall’, tapi kalau pekerja sendiri tidak dilatih untuk melindungi data syarikat, pihak tertentu akan begitu mudah mencuri data tersebut,” katanya kepada FMT selepas menghadiri sidang media Anugerah Cemerlang Industri Sekuriti Malaysia (MSIEA) 2019.

Disebabkan itu katanya, pelancaran anugerah sekuriti di Malaysia diharapkan dapat memberi kesedaran dan mengubah persepsi syarikat terhadap sistem sekuriti.

Naib Presiden Apsa Malaysia, Siti Subaidah Adil.
“Biasanya tahap keselamatan pekerja diutamakan, tetapi sekuriti syarikat pula diabaikan sehinggakan tidak meletakkan sebarang peruntukan, malah gaji pekerja sekuriti antara paling rendah berbanding industri lain.

“Kita sudah berada pada era bandar selamat (safe city), kita perlu pastikan perniagaan dapat dijalankan dengan selamat, bukannya menunggu perkara yang buruk berlaku dan akhirnya menyalahkan orang lain, inilah yang selalu berlaku ketika ini,” katanya.

MSIEA 2019 dianjurkan oleh Apsa Malaysia dengan kerjasama Persatuan Industri Perkhidmatan Keselamatan Malaysia dan United Business Media (UBM) bagi meningkatkan tahap sekuriti dan mengubah persepsi syarikat terhadap isu keselamatan.

Sebanyak 21 anugerah akan diberikan dalam 5 kategori iaitu Pegawai Sekuriti yang Komited, Pengurus Sekuriti yang Komited, Komitmen Sekuriti oleh Korporat, Komitmen terhadap Latihan Sekuriti dan Produk Sekuriti Terbaik.

Penyertaan terbuka kepada hotel, bank, pusat beli belah, komuniti berpagar, sekolah, kolej, kampus universiti, bangunan pejabat dan pelbagai lagi.

Tiga finalis akan dipilih untuk meraih anugerah cemerlang dan 2 anugerah penghargaan yang akan berlangsung pada 20 Mac depan.

Anugerah MSIEA 2019 juga akan berlangsung sempena pameran sekuriti dan keselamatan, iaitu International Fire Security Exhibition and Conference (IFSEC) Asia Tenggara bermula 19 hingga 21 Mac.

Read more at https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/01/31/tahap-sekuriti-syarikat-malaysia-kurang-memuaskan/